Dalam pergaulan kita seharian, kita tidak akan terlepas daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mengguris atau menghiris hati dan perasaan orang lain sama ada secara sedar ataupun tidak. Perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja baik hubungan antara ibu bapa dan anak, hubungan antara adik beradik, sahabat handai, kawan sepejabat, jiran tetangga dan masyarakat.
Lazimnya perkara ini berlaku adalah berpunca daripada berlakunya sesuatu pertengkaran atau pergeseran, sifat sombong, merasakan dirinya sahaja yang betul, berselisih pendapat tentang hal-hal yang remeh, tidak menghormati dan menghargai perasaan orang lain dan sebagainya. Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan baik, maka akan berlakulah keretakkan dan kerosakkan hubungan silaturrahmi sesama kita di mana ianya amat dibenci sama sekali oleh Islam.
Saudara,
Islam amat melarang keras umatnya memutuskan hubungan silaturrahmi. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran kepada manusia tentang sifat-sifat tercela ini. Ia sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
Jangan saling membenci, jangan berhasad dengki, jangan membelakangi kepentingan saudara-saudara kamu, dan jangan memutuskan silaturrahmi, tetapi jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seseorang Muslim memulaukan saudaranya lebih daripada tiga hari.
(Muttafaqun ‘alaih)
Lihatlah bagaimana sejarah Rasulullah s.a.w dan para sahabat suatu ketika dahulu. Mereka telah menunujukkan contoh yang terbaik dalam sejarah umat manusia di mana mereka dapat disatukan atas dasar akidah walaupun datang daripada pelbagai suku kaum dan latar belakang yang berbeza. Subhanallah, begitu hebatnya hubungan silatirrahmi yang dibina antara mereka.
Oleh itu, marilah bersama kita menjaga hubungan silaturrahmi sesama kita dengan baik, elakkan daripada permusuhan dan persengketaan, contohilah Rasul s.a.w dan sahabat di dalam menjalinkan hubungan silaturrahmi sesama mereka. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang disayangi oleh Allah SWT disebabkan menjaga hubungan silaturrahmi yang mulia ini, InsyaAllah
No comments:
Post a Comment